“Yes! Dapat juga aku cipta penawar virus 10110 ni!” kata
Mikhail sambil melonjak gembira. Sedang dia meraikan kejayaannya itu, dia
terlanggar sebuah kotak yang terletak di atas mejanya. Perhatian Mikhail
teralih pada kotak tersebut lalu dia segera menyimpan semula barang-barang yang
terkeluar dari kotak ke tempatnya semula. Matanya tertancap pada sekeping foto
seorang wanita yang dicintainya. Dia segera mencapainya lalu menatap wajah
kesayangan itu semahunya.
“Azwa, alangkah baiknya andai kita dapat meraikan
kejayaan ini bersama,” bisiknya perlahan. Malikha Azwa merupakan tunangnya yang
telah pergi menghadap Ilahi akibat satu kejadian yang tidak diduga.
Tujuh tahun yang lalu, dunia telah dikejutkan dengan satu
virus yang boleh membunuh manusia dalam masa seminggu setelah dijangkiti. Virus
itu digelar virus 10110 kerana telah meragut seramai 10110 nyawa dalam masa
sebulan di seluruh dunia. Punca jangkitan virus ini tidak diketahui umum. Para
saintis tidak dapat mengenal pasti dari mana datangnya virus merbahaya ini.
Pada masa itu, Mikhail yang merupakan seorang pengkaji
virus telah cuba untuk mencipta penawar bagi virus ini. Namun begitu, ramai
orang memperlekehkan kebolehan dan azamnya itu. Malah, ada juga yang
sewenang-wenangnya menuduh Mikhail gila dan tidak siuman. Hal ini kerana,
mereka percaya bahawa pakar juga tidak dapat meleraikan kekusutan yang telah
berlaku. Namun begitu, di saat dia hamhamperrputus asa untuk meneruskan
kajiannya, dia telah ditemukan dengan Azwa yang merupakan seorang penyiasat
persendirian. Pertemuan yang tidak disangka itu berlaku ketika Mikhail sedang
berjalan di kaki lima sebuah pasaraya. Pada masa itu, beg tangan Azwa telah
diragut dan Mikhail telah membantunya mendapatkan semula beg tersebut. Bermula
saat itulah mereka mula berkenalan dan telah mengikat tali pertunangan beberapa
bulan selepas itu.
Mikhail sering menceritakan impiannya yang ingin menjadi
pencipta penawar virus 10110 itu. Dia juga bercerita bahawa dia telah mula
berputus asa untuk meneruskan kajiannya. Namun begitu, Azwa sering cuba
meniupkan semangat ke dalam diri Mikhail dengan memujuknya dan memberi
kata-kata semangat agar dia meneruskan juga impiannya itu.
“Mick, awak tak boleh terus macam ni. Biarlah apa pun
yang diorang nak cakap kat awak. Tapi awak mesti terus berusaha sebab usaha itu
kan tangga kejayaan. Saya pun teringin nak tengok tunang saya ni jadi orang
pertama yang mencipta penawar virus tu. Saya yakin awak boleh buat, Mick.
Teruskan je kaijan tu. Walau apa pun yang terjadi, saya sentiasa berada di sisi
untuk menyokong awak,” kata Azwa pada suatu hari.
Kata-kata itu terus menjadi pembakar semangat Mikhail
kerana sebaik sahaja Azwa mengucapkannya, sebutir peluru telah menembusi dada
kirinya. Seorang penembak curi telah menembak Azwa dari jarak 200 meter.
Mikhail yang panik pada ketika itu tidak dapat melakukan apa-apa selain melihat
tubuh Azwa rebah di hadapannya. Segalanya berlaku terlalu pantas. Dia segara
memangku kepala Azwa yang pada ketika itu hanya tinggal nyawa-nyawa ikan.
Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, Azwa sempat
membisikkan kata-katanya untuk Mikhail. “Mick… tolong janji dengan saya yang
awak akan teruskan juga impian awak tu,” kata Azwa dengan suara yang
tersekat-sekat. “Baiklah Azwa, saya janji. Tapi tolonglah jangan tinggalkan
saya. Awak pun kena janji dengan saya yang awak akan terus hidup bersama saya.
Tolonglah Azwa, jangan tinggalkan saya,”kata Mikhail dalam linangan air mata.
“Mick, saya tak boleh janji. Mungkin jodoh kita sampai
sini saja. Awak mesti janji untuk teruskan hidup awak dan…” kata Azwa
tersekat-sekat mencari nafas.
“Tolonglah bertahan, Azwa. Untuk saya,” pinta Mikhail
sesungguh hati.
“Awak mesti teruskan juga cita-cita awak tu. Tolong
jangan hampakan saya. Hanay itulah permintaan
terakhir saya,” ucap Azwa lagi. Orang ramai yang menyaksikan peristiwa itu
lekas-lekas menghubungi ambulans dan polis.
Mikhail terus mengajar Azwa mengucap dua kalimah
syahadah. Dia juga meminta Azwa bertahan sementara menunggu ketibaan ambulans.
“Selamat tinggal Mick…semoga bertemu lagi. Cinta saya hanya untuk awak dan
kenanglah saya dalam doa awak,” setelah itu, Malikha Azwa menghembuskan nafas
terakhirnya di pangkuan Mikhail Zafran.
Majlis pengkebumian arwah Azwa dilakukan selepas solat asar.
Penembak curi yang bertanggungjawab atas kematian Azwa telah ditangkap beberapa
minggu selepas itu. Penjenayah yang bernama Amran itu merupakan orang yang
berjaya didakwa oleh Azwa atas usahanya menyiasat kegiatan jenayah Amran. Oleh
kerana dendam yang amat mendalam, dia telah menjejaki Azwa selama dua tahun dan
berjaya menamatkan riwayatnya.
Deringan telefon bimbit Mikhail telah mengejutkannya dari
lamunan yang panjang. Dia terus mencapai telefon bimbitnya lalu menjawab
panggilan tersebut. Rupa-rupanya pemanggil itu merupakan seorang professor dari
University Oxford di London. Professor itu amat berminat untuk melihat hasil
kajiannya. Mikhail bersetuju untuk berkongsi hasilnya itu dengan orang awam.
Akhirnya, setelah bertahun-tahun mengkaji tanpa jemu dan
berbekalkan nasihat serta janjinya pada Azwa, dia telah berjaya mencapai
cita-cita dan impiannya. “Azwa, saya dah berjaya tunaikan janji saya pada awak.
Semoga roh awak tenang di sana dan percayalah, sekali pun saya tak pernah
melupakan awak.” Kata Mikhail pada gambar Azwa yang dipegang sedari tadi.
Dia menyimpan semula gambar kenangan itu dan mencapai
telefon bimbitnya lalu keluar dari bilik uji kajinya dengan membawa penawar
ciptaannya bersama. Mikhail bersedia untuk memperlihatkan hasil kajiannya
kepada dunia. Benarlah kata-kata Azwa suatu ketika dahulu bahawa di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Mikhail berjalan dengan penuh keyakinan menuju ke
destinasi tujuannya.
No comments:
Post a Comment